SEMINAR SISTEM KOHA

Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Seminar Sistem Perpustakaan Bersepadu KOHA yang bertemakan “Amalan Terbaik dalam Pengurusan Bahan-Bahan Perpustakaanpada 3 dan 4 Mei 2017 di Dewan Kuliah Philip Kotler, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM. Seminar ini diadakan berikutan keperluan semasa daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam Perpustakaan dan Pusat Sumber yang ingin mengetahui dengan lebih jelas lagi mengenai Sistem Perpustakaan Bersepadu (Integrated Library Management System) yang berasaskan Sistem terbuka iaitu Sistem KOHA.

Pada masa kini, statistik menunjukkan lebih 1,100 buah perpustakaan di seluruh dunia termasuk Malaysia telah mula beralih kepada Sistem KOHA dari Sistem Perpustakaan Bersepadu sedia ada (Proprietary System). Sistem KOHA menjadi pilihan alternatif kerana sistem ini berkemampuan untuk berfungsi sepenuhnya, bersifat fleksibel, kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan telah dibangunkan mengikut protokol dan piawaian Perpustakaan. Penggunaan Sistem KOHA dapat menjimatkan kos operasi Perpustakaan dan membantu menyelesaikan masalah kekangan bajet yang melanda pada masa kini.

OBJEKTIF SEMINAR

Peserta yang menyertai seminar ini:

  1. Memahami Sistem Perpustakaan Bersepadu KOHA;
  2. Mengenal pasti faedah dan kepentingan Sistem KOHA kepada perpustakaan dan pengguna;
  3. Memanfaatkan pengalaman pelaksanaan Sistem KOHA di perpustakaan; dan
  4. Mengenalpasti isu-isu semasa pembangunan/pelaksanaan Sistem KOHA